Tahukah anda pada hari ini 15 November pada tahun 1988 penubuhan Negara Palestin telah diisytiharkan oleh Yasser Arafat di persidangan Palestine National Council (PNC) di Algiers. PNC adalah dewan perwakilan kepada PLO. Lebih 120 negara mengiktiraf pengisytiharan tersebut termasuklah Malaysia. Bahkan ia diterima oleh PBB melalui resolusi... 43/177 dengan 104 menyokong dan 2 menentang (36 berkecuali). Bolehkah anda meneka siapakah 2 yang menentang itu? Tentu saja Israel dan Amerika.
Namun ia bukan kali yang pertama. Negara Palestin pernah diisytiharkan pada 1 Oktober 1948 dalam satu persidangan di Gaza, di tengah kemelut perang Arab-Israel. Tidak hairanlah jika anda tidak mengetahuinya kerana kedua-dua pengisytiharan tersebut hampir tidak relevan lagi sekarang. Kedua-duanya tidak membawa apa-apa makna dan tidak merubah sedikit pun nasib rakyat Palestin.
Memandangkan PLO sendiri dalam buangan pada ketika itu; setelah dihalau keluar melalui Beirut pada tahun 1982, pengisytiharan tersebut hanyalah simbolik atau angan-angan. Hampir 100% dari tanah yang diisytiharkan tersebut berada dalam penjajahan Zionist.
Apakah sempadan Negara Palestin? Pengisytiharan dibuat berasaskan resolusi PBB 181 atau lebih dikenali sebagai 1947 Partition Plan ( Rujuk peta ). Pelan tersebut menghadiahkan kepada pendatang Yahudi 55% dari tanah Palestin sedangkan sebelumnya mereka hanya mempunyai tidak lebih dari 6% tanah secara sah. Rakyat Palestin yang merupakan 70% dari populasi hanya mendapat 45% dari tanah mereka sendiri. Implikasi menerima resolusi PBB 181 ialah PLO redha dengan pembahagian yang tidak adil tersebut dan sekaligus mengiktiraf kewujudan Israel.
Ironiknya, selama ini PLO sendiri berulang–kali menolak Resolusi 181. Bahkan seluruh negara Arab menolaknya. Inilah antara pencetus Perang Arab-Israel 1948. Tetapi akibat tertekan dengan desakan Amerika yang tidak mahu berunding dengan PLO selagi tidak mengiktiraf Israel dan meletak senjata, Yasser Arafat terpaksa akur demi meneruskan `talian hayat’nya. Mungkin anggapan Arafat ini akan melonjak kedudukan diplomatic (diplomatic leverage) PLO. Malangnya selepas membayar 2 harga yang mahal iaitu mengiktiraf Israel dan melucutkan hak penentangan bersenjata (self-renounced of arm struggle), PLO mendapati dirinya terjebak dalam perangkap `proses rundingan damai’ yang tidak berkesudahan.
Bahkan selepas 23 tahun Negara Palestin diisytiharkan di Algiers pada hari ini dalam tahun 1988, selepas perjanjian Camp David, Oslo, Madrid, Road Map for Peace dan pelbagai lagi; yang berlaku adalah kawasan yang dikuasai Palestin makin mengecil, Israel semakin teguh (established), pendatang dan penempatan haram Yahudi semakin bertambah, Gaza dikepung, Baitul Maqdis semakin tergadai serta kezaliman dan pembunuhan keatas rakyat Palestin semakin berleluasa.
Ar Syed Mohd Radhi
Aqsa Syarif Gombak