Wednesday 21 November 2012

Booth Israa di Nottingham Malaysia Games 2012

Nottingham, 10/11/2012 - Nottingham Malaysian Games 2012 merupakan satu kejohanan sukan Malaysia yang terbesar di United Kingdom dan amat popular di kalangan pelajar-pelajar dan masyarakat Malaysia kerana ianya menjadi suatu medan utama untuk pelajar-pelajar dari serata tempat di UK ini untuk berjumpa dan menjalinkan ukhuwah. Selain menjadi medan untuk berjumpa, Nottingham Malaysian Games 2012 juga menjadi tempat untuk masyarakat Malaysia melepaskan kerinduan pada masakan Melayu kerana terdapat berpuluh-puluh gerai menjual makanan Melayu dibuka pada hari kejohanan tersebut. Selain gerai makanan, terdapat juga gerai-gerai lain yang dibuka pada hari tersebut, salah satunya ialah gerai mempromosi atau ‘cakna Palestin’ dari Israa Institution.

Israa Institution telah mengambil peluang keemasan dengan kehadiran ribuan masyarakat Malaysia ke Nottingham Malaysian Games 2012, untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran tentang bumi anbiya’ Palestin kepada mereka yang hadir. Satu gerai menjual barangan Palestin di samping meningkatkan kesedaran tentang Palestin telah dibuka. Gerai ini beroperasi di Powerleague Nottingham, tempat di mana pertandingan bolasepak 5-sebelah dijalankan. 

Ianya dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 4 petang. Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan di gerai ini terutamanya jualan cenderahati yang didatangkan khas dari Gaza (cenderahati-cenderahati ini dibawa pulang oleh saudara Yusuf dan saudara Rahman yang baru pulang dari Gaza beberapa bulan yang lalu), tabung derma Palestin, penerangan dan info tentang Palestin dan Israel, dan aktiviti yang paling mendapat perhatian ramai ialah peluang untuk menulis nama dengan menggunakan tulisan seni Khat. Saudara Nabil dari Liverpool telah berjaya menarik pelanggan-pelanggannya dengan kehebatannya dalam seni tulisan Khat dengan mengenakan bayaran yang minima. Semua hasil keuntungan jualan dari gerai ini disumbangkan terus kepada rakyat Palestin melalui Israa’ Institution.

Pihak Israa’ Institution sangat berbesar hati atas semua sumbangan masyarakat Malaysia kepada rakyat Palestin dan pihak kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang mengunjungi gerai kami termasuklah Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Ahli Jawatankuasa Nottingham Malaysian Games 2012 yang telah membenarkan kami membuka gerai di Powerleague Nottingham tanpa mengenakan sebarang bayaran. Semoga amal kita semua yang sedikit ini mendapat berkat dan diterima Allah. 

Yang melaporkan,
Mohd Hilmi Kamil
Liverpool


Pelbagai aktiviti disediakan antaranya jualan cenderahati dan buku, tabung derma, tulis nama dengan Khat dan lain-lain.

 Sebahagian deripada sukarelawan yang menjaya gerai Israa


Saudara Nabil mempamerkan seni tulisan Khat.

Antara hasil seni tulisan Khat yang ditawarkan kepada pengunjung.

Monday 19 November 2012

Petang itu di Kota London

Terasa pedih di hatinya
Terbakar panas jiwanya
Lalu sibuk aqal nuraninya berbicara
Melangkah berhimpun menunjuk rasa
Sambil terancung tangan ke udara
Melaung menggegar mengguruh kata
"Free Free... Free Gaza"

Aah !!! Biar tahu dunia
Dari London ke Washington hingga Singapura
Yaa... biar tahu mereka
Bahawa
Di Bumi Al Aqsa dan di mana jua
Setiap yang teraniaya
Pasti ada pembelanya
Setiap yang diperhamba
Tetap ada jaguh pembebasnya 
Setiap yang diinjak dihina
Akan terserlah jua kemuliaannya

Moga mekarlah Iman
Menyatu dalam du'a dan harapan
Mewangi bersebati keharuman
Terus menyemarak ruh keinsafan

Moga mekarlah Iman
Mengukuh dalam jiwa dan fikiran
Menggenggam kemas himmah perjuangan
Terus berkhidmat mengangkat kemanusiaan
Mulia pulang ke sisi Tuhan Ar Rahman

MNK
18/11/12
London

Friday 16 November 2012

Gaza Emergency Relief Fund

Khamis, 15 November 2012

1. Di saat umat Islam seluruh dunia menyambut ketibaan tahun baru hijrah (1434H), rejim Zionis Israel telah mengadakan siri-siri serangan bom dan peluru berpandu terhadap penduduk Gaza.

2. Setakat ini, lebih 20 orang maut dan 80 rakyat Palestin tercedera. Antara yang syahid dibunuh rejim Zionis laknatullah termasuk beberapa orang kanak-kanak dan  komander briged Izzuddin Al-Qassam, Ahmad Ja’bari. Ini bukanlah kali pertama Israel menjadikan pemimpin-pemimpin HAMAS sebagai sasaran operasi mereka. Antara pemimpin HAMAS yang telah syahid di tangan rejim Zionis sebelum ini termasuk Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz Rantisi.

3. Serangan terbaru ini jelas menunjukkkan kekejaman dan hilangnya perikemanusiaan rejim Zionis. Ia juga membuktikan bahawa mereka tidak akan berhenti menzalimi dan membunuh rakyat Palestin selagi matlamat mereka untuk melenyapkan tanah Palestin tidak berjaya.

4. Sebagai sebuah institusi yg memperjuangkan isu palestin, Israa’ menyeru seluruh masyarakat Malaysia di UK dan Ireland untuk:
a.     Menghadiri demonstrasi-demonstrasi umum yang membantah serangan Israel ke atas penduduk Gaza di kawasan setempat masing-masing.
b.     Memanjatkan doa kepada Allah s.w.t secara terus-menerus untuk kemenangan rakyat Palestin.
c.      Menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui akaun Israa’ Institution:
i.     Nama akaun: Israa Institution
No akaun: 32033119
Sort code: 403130
ii.     (atau) akaun Ireland
Nama akaun: Aiman Mukri
No akaun: 71578-068
Sort code : 93-10-12
Ref: Gaza Emergency Fund 

5. Sumbangan anda akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui Aqsa Syarif  Malaysia untuk bantuan asas yang diperlukan segera seperti:
a.     Makanan asas
b.     
Ubat
-ubatan
c.     Pakaian sejuk dan selimut

d.     Pembiayaan rawatan di hospital Mesir bagi yang cedera parah

e.     Pembiayaan kos baik pulih rumah-rumah yang musnah 

6. Tabung sumbangan akan ditutup pada 20hb November 2012, bagi memudahkan penyaluran sumbangan kepada rakyat Palestin secepat mungkin.

Sekian, terima kasih.

Dr. Aliyyah Mohammad Khuzaini
Timbalan Pengarah
Israa Institution