About Us

Israa Institution adalah institusi rasmi di bawah IKRAM UK & Eire yang memberi fokus kepada perjuangan Palestin. Israa dilancarkan secara rasmi pada 24 Mac 2012, manakala antara Disember 2009 dan Mac 2012, aktivis Israa bergerak menggunakan platform Misi Kasih Palestin (MKP). 

Nama dan Logo :



Nama "Israa" diambil bersempena surah ke-17 di dalam Al-Quran, Al-Israa', yang mengandungi kisah perjalanan Israa dan Mi'raj Nabi Muhammad SAW dan menceritakan keberkatan tanah suci Palestin dan kawasan sekitarnya.

Logo Israa menggambarkan burung merpati putih yang menjadi simbol global 'keamanan' dan dibentuk dari perkataan "Israa" berdasarkan kaligrafi Arab (إسراء).



Motto : 'Palestine in Our Hearts'


Visi:

Menjadi peneraju dalam memperkukuhkan aspirasi perjuangan umat Islam khususnya di Palestin.

Misi :

Menggembleng pelbagai sumber dan kepakaran masyarakat Malaysia di UK dan Eire bagi mencapai hasrat mengembalikan hak rakyat Palestin dan ummah.

Objektif :
  1. Menyebarkan dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat Malaysia di UK dan Eire tentang isu Masjid al-Aqsa dan Palestin serta hak-hak mereka. 
  2. Memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin
  3. Menyalurkan bantuan kewangan secara berterusan
  4. Melahirkan tokoh di kalangan aktivis IKRAM UKE
  5. Membina jaringan kerjasama dengan pelbagai organisasi yang berkaitan dengan Palestin di dalam dan luar UK dan Eire.



Polisi-polisi

i. Penganjuran kempen dan ceramah kesedaran


·      Segala program berbentuk ilmiah yang dirancang oleh Israa’ Institution mestilah mendapat kelulusan dan kebenaran oleh AJK tertinggi institusi. Perbincangan lanjut tentang pelaksanaan program akan dijalankan bersama-sama aktivis Israa’ yang lain. Namun begitu, inisiatif sendiri daripada kawasan dan lokaliti untuk mengadakan program sebegini adalah sangat digalakkan dengan syarat program-program tersebut dipantau rapat oleh kepimpinan kawasan mahupun lokaliti.

ii. Penganjuran kutipan derma dan donation drive
·      Seperti program-program yang dinyatakan di atas projek-projek kutipan derma melalui Israa’ Institution mestilah dibincangkan di peringkat tertinggi terlebih dahulu. Pembahagian tugasan dan pelaksanaan tugasan akan dibuat bersama-sama aktivis yang berdaftar. Duit sumbangan dari Ireland hendaklah diasingkan dan dikumpulkan setelah kempen tersebut tamat. Bagi projek kerjasama dengan Aqsa Syarif Malaysia, kempen hanya akan dijalankan setelah mendapat jemputan rasmi dari pihak Aqsa Syarif Berhad. Pemberian resit sumbangan hanya akan dibuat sekiranya ada permintaan.

iii. Penganjuran misi kemanusiaan ke Lubnan
·      Misi tahunan ke Lubnan atau lebih dikenali sebagai iLubnan adalah program utama Israa’ Institution. Cadangan tarikh misi ini hendaklah dibuat selewat-lewatnya 3 bulan sebelum tarikh penerbangan. Pemilihan delegasi hendaklah dijalankan dengan mengambil kira perancangan masa hadapan institusi kerana delegasi yang menyertai misi iLubnan ini mestilah berada di dalam institusi dan bertanggungjawab untuk menggerakkan dan merancang program-program kesedaran di masa hadapan. Segala perbelanjaan untuk misi ini hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh delegasi yang terpilih.

iv. Misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza
·      Oleh kerana skala projek yang dijalankan di Semenanjung Gaza adalah sangat besar, Israa’ Institution hanya akan menghantar wakil ke Gaza sekiranya mendapat jemputan dari pihak Aqsa Syarif Malaysia.

v. Mailing list dan medium perbincangan aktivis Israa’ Institution

·      Semua ahli jawatankuasa tertinggi Israa’ Institution akan dimasukkan ke dalam Google Group rasmi manakala semua aktivis dan sukarelawan dimasukkan ke dalam Facebook group.