Saturday 20 August 2011

Sukarelawan Aqsa Syarif Ramadhan di Gaza



27 Julai 2011, Malaysia - Berikut adalah senarai penuh sukarelawan yang diamanahkan untuk menyempurnakan Misi Kemanusiaan Aqsa Syarif Ramadhan di Gaza 2011 (A2G2). Mereka adalah gandingan aktivis Aqsa Syarif dari seluruh Malaysia dengan latar belakang penglibatan dan sumbangan yang pelbagai di dalam perjuangan Palestin di Malaysia.
Pemilihan dilakukan oleh Board of Trustee Aqsa Syarif.

1. PROF MADYA DR MOHD ZIN KANDAR
2. DR MOHD TAHIR A.RAHMAN
3. HJ YUSUF SURATMAN
4. MOHD MUNAWER ISMAIL
5. USTAZ MOHD HAIROZI MUHAMMAD
6. MUHAMMAD MUS’AB MUZAHAR
7. PROF MADYA DR MD ROSLAN HASHIM
8. A.KHALIL KHAMIS
9. Ar SYED MOHD RADHI SYED SAKKAF
10. NOORHASYIMAH ISMAIL
11. SITI RAMLAH IBRAHIM
12. NOORAZIAN ANIDIN

Mohon do'a dari semua rakyat Malaysia dan ummah seluruhnya agar sukarelawan di atas mampu meyempurnakan misi kali ini dengan jayanya.Insya Allah maklumat lanjut akan menyusul.

Training for Palestinian Specialist (TOPS) bersama Aqsa Syarif

Bangi, 6/8/2011 - Pada 6 ramadhan 1432H, satu kursus intensif “Training for Palestinian Specialist” (TOPS) telah dianjurkan oleh Aqsa Syarif untuk aktivis-aktivis Aqsa Syarif yang belajar di luar negara. Seramai lebih kurang 50 peserta dari UK, Ireland, France, Russia, Chech Republic, dan Poland telah datang untuk menghadiri program tersebut. Program di anjurkan di Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6.30 petang. 

Peserta-peserta kursus yang hadir

Objektif kursus intensif adalah untuk melengkapkan aktivis-aktivis Aqsa Syarif dengan maklumat dan cara yang tepat dalam memperjuangkan isu Palestin kepada masyarakat. Ia juga bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat mengenai projek-projek yang dijalankan oleh Aqsa Syarif. Kursus intensif ini dibahagikan kepada 4 slot pengisian.

Slot pertama oleh Akh Ismail

Dalam slot ini, latar belakang Aqsa Syarif dan projek-projek Aqsa Syarif diceritakan secara terperinci kepada perserta kursus. Selain itu, peserta juga didedahkah dengan bentuk-bentuk bantuan dan sokongan yang boleh mereka sumbangkan untuk Palestin melalui Aqsa Syarif.

Akhi Ismail memberikan penerangan kepada peserta

Slot kedua  oleh Akh Azmi Katiman

Slot kedua ini banyak berkisarkan pengalaman penceramah dalam menyertai konvoi Viva Palestina ke Gaza. Konvoi yang disertai pelbagai golongan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama disambut baik oleh penduduk setempat disepanjang perjalanan terutamanya masyarakat eropah. Sungguh malu jika masyarakat muslim tidak mengambil bahagian dalam memperpejuangkan isu palestin apatah lagi terus mengabaikanya.
Akh Azmi Katiman menceritakan pengalam beliau menyertai konvoi Viva Palestin

Slot ketiga oleh Ustaz Kamaruzaman

Perkongsian ringkas oleh oleh Ustaz Kamaruzzaman mengenai kesusahan keluarga-keluarga miskin  dan anak yatim di Gaza menyentuh perasaan peserta-peserta yang hadir. Namun, di sebalik kesusahan yang menimpa rakyat palestin, mereka masih mampu mengukir senyuman di wajah-wajah mereka dan terus cekal  menghadapi dugaan hidup. Rakyat palestin perlu di jadikan contoh untuk seluruh umat islam kerana keyakinan dan kebergantungan mereka dengan Allah swt sangat tinggi sehingga segala kesusahan dan kepayahan yang menimpa terus mereka lalui dengan redha dan tidak pernah berputus asa untuk mempertahankan tanah barakah Palestin.

Slot ke-empat oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

Dr Hafidzi penuh bertenaga menyampaikan bahan-bahan untuk peserta kursus

Slot pengisian oleh Dr Hafidzi banyak menceritakan tentang perkara-perkara asas dalam memperjuangkan isu Palestin. Isu Palestin yang menjadi isu akidah umat islam perlu di pandang serius dan bukan sekadar isu kemanusiaan. Kefardhuan untuk ummat islam  bangkit dan memperjuangkan kebebasan Masjidil Aqsa tidak lagi perlu diragukan. Kaitan sirah perjuangan Nabi Muhammad  saw juga dikupas dengan baik oleh Dr Hafidzi dalam melihat konflik Palestin dan negara haram Israel. 

Slot pengisian ini juga disambung dengan isu-isu politik yang bersangkutan dengan Palestin. Peserta dengan jelas dapat melihat bagaimana rejim Zionist dengan begitu angkuh dan licik mempermainkan ummat islam dalam usaha mereka untuk menjadikan Israel terus wujud. Resolusi-resolusi PBB yang hanya menjadi mainan dan caturan rejim Zionist juga ditekankan oleh penceramah. 

Penyampaian sijil kepada wakil peserta, akh Ammar Roslizar

Kursus TOPS Ramadhan ini ditutup dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta yang hadir. Di harapkan agar latihan yang diterima dapat diaplikasikan dengan baik oleh peserta yang bakal menerajui perjuangan pembebasan bumi Palestin melalui Aqsa Syarif insyaAllah. Moga segala usaha dapat dijalankan dengan penuh ikhlas dan berterusan sehingga  ummat islam kembali dapat menunaikan solat di Masjidil Aqsa suatu hari nanti.

Sungguh, kemenangan sudah dijanjikan  mengapa kita harus bertangguh lagi!

“Memperkasa Ummah Membebaskan Al-Aqsa”

Ahmad Afiq Rhazif

Booth IKRAM & MKP@Iftar Leeds

Bismillahirrahmanirrahim,
Ramadhan kareem!

Alhamdulillah pada malam bulan penuh, 14 Ramadhan 1432 bersamaan 14 Ogos 2011, IKRAM Leeds telah membuka gerai Misi Kasih Palestin (MKP) di majlis berbuka puasa masyarakat Malaysia Leeds anjuran Malaysian Student Community Leeds (MSCL). Bagi memeriahkan majlis tersebut, kami juga terpanggil untuk meringankan beban penganjur dengan menaja kurma dan air untuk berbuka puasa.

Ucapan bersama bungkusan kurma yang diedarkan

Ukhti Iman bersama Hajjah Noor Zaitun

Selain menyediakan tabung untuk derma bagi Palestin, kami turut menjual kurma Medjoul Palestin keluaran Yaffa Palestinian Products yang disokong oleh Friends of Al-Aqsa. Sebagai meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Palestin, kami juga mengedarkan risalah berkenaan dengan Palestin dan juga risalah kempen “Boycott Israeli Dates”

Kurma Medjool Palestin

Alhamdulillah, di dalam majlis singkat selama 2 jam ini, kami berjaya mengumpulkan sebanyak £127.38. Jazakumullahukhairan katheera diucapkan buat warga Leeds. Semoga semua amalan kita diterima Allah.
Untuk maklumat lanjut mengenai Misi Kasih Palestin, lawati blog MKP IKRAM UK Eire di http://mkpalestin.blogspot.com/

Latar belakang majlis
Wallahua’lam.
Wassalam.

Mari memeriahkan Ramadhan. Lawati blog Ramadhan IKRAM UK Eire.

Melaporkan dari Leeds,
Nur Kauthar

Monday 1 August 2011

PERUTUSAN KHAS RAMADHAN AQSA SYARIF

Assalamualaikum wrt bth.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan jalan kebenaran dan cahaya Islam.

Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada seluruh Islam kerana kita sedang bertamu di bulan Ramadhan yang agung. Bulan yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan keistimewaan. Bulan di mana berlaku pelbagai peristiwa besar. Bulan yang menyatukan umat Islam ini tanpa mengira batas sempadan geografi, budaya dan bahasa. Bahkan Ramadhan menyatukan umat Islam untuk bersama melaksanakan syariat Allah iaitu menunaikan ibadah puasa dan berlumba-lumba untuk mencapai darjat taqwa yang disediakan bagi orang-orang yang ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah semata-mata.

Sebagaimana Ramadhan menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis adalah simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia. Meskipun umat Islam berkumpul di Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal sebagai mereka bolih sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.

Begitulah umat Islam di seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekaseh yang hanya bolih digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah dan solatlah di sana”. Halangan untuk berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk lampu-lampunya”.

Didorong oleh rasa ‘hubb’ (cinta abadi terhadap Masjid al-aqsa) Aqsa Syarif telah mengerah segala kekuatan dan sokongan yang ada untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza untuk sekian kalinya. Aqsa Syarif bersempena dengan bulan Ramadhan ini akan mengirim sebuah misi besar yang akan dipikul oleh 12 orang pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Dengan izin dan perancangan dari Allah SWT mereka insyaAllah akan memasuki Gaza yang berkah itu pada 20 Ogos (bertepatan 20 Ramadhan) dan akan berada di sana selama 8 hari. Mereka akan bersama-sama rakyat palestin pada sepertiga yang terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh malam terakhir yang terkandung padanya malam Lailatul Qadar.

Misi yang dinamakan misi Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga orang anggota misi wanita. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa wanita Palestin. Misi kali ini juga akan menziarahi Kelaurga miskin yang ditaja oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin.

Sebesar harapan Aqsa Syarif untuk membantu rakyat Palestin dalam kerangka menghayati pesan Rasulullah SAW ‘Kirimkan minyak untuk lampu-lampu masjid’ begitu jugalah besarnya harapan kepada sokongan umat Islam. Aqsa Syarif berdoa dengan baroqah bulan Ramadhan yang mana infaq (mengeluarkan harta untuk tujuan fisabilillah) adalah satu amalan utama di samping amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, untuk membawa tidak kurang dari RM1 juta untuk melaksanakan semua projek-projek yang digariskan di atas.

Sempena bulan Ramadhan al-mubarak ini, Aqsa Syarif akan bersama-sama umat Islam mencontohi Rasulullah SAW dalam hal ketangkasan bersedeqah. Ibnu Abbas RA, berkata:

Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin. (Hadis Bukhari dan Muslim).

Marilah kita semua mengambil peluang ini untuk bersedeqah di bulan Ramadhan untuk membela dan mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Cuma ada satu jalan sahaja buat masa ini untuk kita berperanan dengan berkesan untuk memikul tanggungjawab mempertahankan Masjid al-Aqsa iaitu dengan kita membantu saudara-saudara kita di Palestin untuk melakukan tanggungjawab ini bagi pihak seluruh umat Islam. Oleh kerana mempertahankan Masjid al-Aqsa ini adalah kewajipan yang akan ditanyakan oleh Allah ke atas setiap muslim, maka membantu umat Islam Paletsin tidak syak lagi menjadi kewajipan setiap kita yang bergelar muslim. Ayuh bersegeralah infaq untuk Palestin dan rebutlah pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Ingatlah akan pesan Nabi SAW.

Sabda Rasulullah yang bermaksud, Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma. (Hadis Bukhari).

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
1 Ramadhan 1432H/1 Ogos 2011