Wednesday 21 November 2012

Booth Israa di Nottingham Malaysia Games 2012

Nottingham, 10/11/2012 - Nottingham Malaysian Games 2012 merupakan satu kejohanan sukan Malaysia yang terbesar di United Kingdom dan amat popular di kalangan pelajar-pelajar dan masyarakat Malaysia kerana ianya menjadi suatu medan utama untuk pelajar-pelajar dari serata tempat di UK ini untuk berjumpa dan menjalinkan ukhuwah. Selain menjadi medan untuk berjumpa, Nottingham Malaysian Games 2012 juga menjadi tempat untuk masyarakat Malaysia melepaskan kerinduan pada masakan Melayu kerana terdapat berpuluh-puluh gerai menjual makanan Melayu dibuka pada hari kejohanan tersebut. Selain gerai makanan, terdapat juga gerai-gerai lain yang dibuka pada hari tersebut, salah satunya ialah gerai mempromosi atau ‘cakna Palestin’ dari Israa Institution.

Israa Institution telah mengambil peluang keemasan dengan kehadiran ribuan masyarakat Malaysia ke Nottingham Malaysian Games 2012, untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran tentang bumi anbiya’ Palestin kepada mereka yang hadir. Satu gerai menjual barangan Palestin di samping meningkatkan kesedaran tentang Palestin telah dibuka. Gerai ini beroperasi di Powerleague Nottingham, tempat di mana pertandingan bolasepak 5-sebelah dijalankan. 

Ianya dibuka bermula jam 9.30 pagi hingga 4 petang. Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan di gerai ini terutamanya jualan cenderahati yang didatangkan khas dari Gaza (cenderahati-cenderahati ini dibawa pulang oleh saudara Yusuf dan saudara Rahman yang baru pulang dari Gaza beberapa bulan yang lalu), tabung derma Palestin, penerangan dan info tentang Palestin dan Israel, dan aktiviti yang paling mendapat perhatian ramai ialah peluang untuk menulis nama dengan menggunakan tulisan seni Khat. Saudara Nabil dari Liverpool telah berjaya menarik pelanggan-pelanggannya dengan kehebatannya dalam seni tulisan Khat dengan mengenakan bayaran yang minima. Semua hasil keuntungan jualan dari gerai ini disumbangkan terus kepada rakyat Palestin melalui Israa’ Institution.

Pihak Israa’ Institution sangat berbesar hati atas semua sumbangan masyarakat Malaysia kepada rakyat Palestin dan pihak kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang mengunjungi gerai kami termasuklah Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Ahli Jawatankuasa Nottingham Malaysian Games 2012 yang telah membenarkan kami membuka gerai di Powerleague Nottingham tanpa mengenakan sebarang bayaran. Semoga amal kita semua yang sedikit ini mendapat berkat dan diterima Allah. 

Yang melaporkan,
Mohd Hilmi Kamil
Liverpool


Pelbagai aktiviti disediakan antaranya jualan cenderahati dan buku, tabung derma, tulis nama dengan Khat dan lain-lain.

 Sebahagian deripada sukarelawan yang menjaya gerai Israa


Saudara Nabil mempamerkan seni tulisan Khat.

Antara hasil seni tulisan Khat yang ditawarkan kepada pengunjung.