Wednesday 28 March 2012

MKP Liverpool : Bulan Amal Palestin



Bermula pada 15 March 2012, ahli-ahli IKRAM Liverpool melancarkan Bulan Amal Palestin Liverpool. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memupuk kesedaran tetang isu Palestin di kalangan masyarakat Liverpool, mengumpul derma untuk rakyat Palestin dan juga untuk merapatkan hubungan antara ahli-ahli IKRAM Liverpool dan masyarakat setempat.

Aktiviti pertama ialah usrah gabungan untuk masyarakat Liverpool pada 15 march 2012. Pengisian untuk usrah ini disampaikan oleh saudara Abdul Azim Ismail yang menceritakan pengalaman beliau menyertai konvoi ke Gaza baru-baru ini. Pengalaman yang dikongsi berjaya membuka hati pendengar kerana berlainan dari program-program Palestin lain sebelum ini, pengisian yang disampaikan menyentuh isu-isu semasa dan cerita-cerita menarik tentang Gaza yang tidak dapat diperolehi dari mana-mana aktiviti lain. Sambutan untuk aktiviti ini amat menggalakkan dan kebanyakan peserta berinteraksi aktif dengan pengisian yang diberikan. Kutipan derma dan jualan kurma juga berjalan dengan baik. Respon yang diterima juga amat memberangsangkan dan pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat Liverpool untuk membantu menjayakan program ini.

Aktiviti kedua adalah liga bolasepak amal Liverpool Palestin pada 18 March 2012. Seramai 5 kumpulan terdiri dari 30 peserta telah menyertai liga ini yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Penyertaan dibuka kepada semua pihak dan peserta dari pelbagai lapisan masyarakat tampil untuk menjayakan aktiviti ini. Sepanjang acara dijalankan, jualan amal juga dijalankan untuk mengumpulkan lebih banyak dana untuk tabung Palestin. Permainan bolasepak disertai oleh gelak ketawa sepanjang acara dijalankan dan akhirnya setelah penat lelah bermain, semua peserta berkumpul untuk berkenal-kenalan sambil menikmati makanan yang dibeli. Pemenang liga tahun ini adalah kumpulan Brotherhood yang terdiri dari beberapa peserta dari Brunei dan seorang dari Portugal. Hadiah berbentuk hamper makanan disediakan untuk pemenang liga.

Aktiviti kemuncak adalah perbincangan tentang isu Palestin bertajuk ‘The Two State Solution’ yang disampaikan oleh Syeikh Majdi Aqeel, seorang director untuk INTERPAL.  Aktiviti ini berlangsung pada 20 March 2012. Sepanjang perbincangan dijalankan, Syeikh Majdi mengingatkan kita tentang kepentingan mempertahankan Al-Quds sebelum meneruskan dengan pengisian utama iaitu menyentuh tentang resolusi dua negara untuk Palestin dan Israel. Syeikh Majdi menerangkan bagaimana resolusi ini akan memberi impak yang buruk kepada masyarakat Palestin dan mengutuk tindakan zionist yang menjaja resolusi ini kepada masyarakat antarabangsa sebagai resolusi terbaik untuk Palestin. Pengisian ini berjaya menyedarkan peserta-peserta yang selama ini hanya menerima input dari media massa sahaja.

Sepanjang bulan amal Palestin Liverpool ini dijalankan, sebanyak £306.22 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada INTERPAL. Segala hasil jualan merchandise dan kurma pula diserahkan kepada misi kasih palestin. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat Liverpool kerana turut sama menjayakan aktiviti ini.