Alhamdulillah pada 27 Februari 2014, satu program ‘Palestine Talk’ telah diadakan di Belfast sempena projek ‘My Ummah Week’ yang dianjurkan oleh IKRAM Care and Relief (iCARE) dan Israa Institution Ireland. Seramai lebih kurang 60 orang yang terdiri daripada warga Malaysia dan Brunei di Belfast telah hadir pada malam tersebut. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran ummat akan perihal saudara-saudara kita di Palestin. Program berlangsung dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam dan penceramah jemputan ialah ukhti NoorHasyimah Ismail yang merupakan seorang aktivis Palestin di bawah NGO Aqsa Sharif Malaysia.
Program dimulakan dengan makan malam yang telah disediakan. Tepat pada pukul 7.30 petang, para hadirin telah memenuhi ruangan dewan kuliah dan majlis berlangsung dengan pembukaan al-fatihah oleh juruacara majlis, akh Muhammad ‘Afif Amran. Seterusnya, akh Zaiem Akmal dijemput untuk membacakan ayat suci al-quran. Perkongsian yang disampaikan oleh saudari Hasyimah adalah mengenai keadaan saudara kita di Palestin dan lebih kepada membuka mata semua untuk tahu kenapa perlu kita peduli akan ummat. Sejarah tentang Palestin-Israel juga dikongsi pada mulanya. Pada akhir ceramah, saudari Hasyimah menceritakan tentang peranan yang boleh dilakukan oleh kita secara umumnya dan khususnya. Selepas itu, sesi soal jawab diteruskan. Majlis tamat pada pukul 10.15 malam.
Sepanjang minggu tersebut juga telah berlangung jualan amal dan hasil kutipan daripada aktiviti ini adalah sebanyak £186.88. Segala sumbangan akan disalurkan kepada Israa Insitution. Dengan laporan ini disertakan beberapa gambar yang diambil selama berlangsungnya program ‘Palestine Talk’.
Akhir kata, pihak penganjur amat berharap dengan izin Allah agar program ‘Palestine Talk’ ini dapat menjadi satu platform bagi semua yang hadir agar terus mengambil perhatian dan berusaha dengan apa cara sekalipun yang termampu untuk mengambil tindakan supaya yang hak akan terus tertegak.
Laporan oleh:
Nabila Rosaidi