Tuesday 12 June 2012

Laporan program Gaza2Manchester

Manchester, 8/6/12 - Sebuah program berbentuk forum  bertajuk ‘Gaza2Manchester’ telah diadakan di Khaled Said Room, University of Manchester Student Union. Forum anjuran Israa Institution ini menampilkan 2 orang panelis hebat iaitu saudara Abdul Azim Ismail dan saudara Umar Ismail bersama saudara Saifullah Suhairi bertindak sebagai moderator. Program yang dihadiri oleh lebih kurang 30 orang ini telah sedikit sebanyak memberi informasi yang berguna kepada hadirin berkenaan perjuangan kita sebagai umat Islam untuk membebaskan bumi barokah Al-Quds.

Sesi 2 jam ini sarat diisi dengan perkongsian pengalaman ahli panel yang baru sahaja mengunjungi Gaza beberapa bulan yang lepas. Umar Ismail telah menyertai rombongan bersama Misi Haluan Palestin dalam usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk di sana sementara Abdul Azim Ismail pula telah pergi ke Gaza bersama Board of Trustee Aqsa Syarif  dalam program Board to Gaza. Dua misi yang berbeza ini sudah pasti menggambarkan pengalaman yang berbagai dan telah menjadikan forum kali ini lebih menarik.

Antara isi penting forum ini ialah mengajak semua hadirin untuk sama-sama merasai urgunsi menyertai perjuangan yang telah dijanjikan kemenangan oleh Allah ini. Setiap daripada kita sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam menyumbangkan apa yang termampu baik dari segi material dan juga doa yang tidak putus-putus kepada saudara kita di bumi Palestin. Ahli panel juga berkongsi bagaimana masyarakat non-muslim juga telah lama bersungguh-sungguh berkempen dalam isu ini. Malulah kita sebagai umat islam jika tidak turut serta dalam perjuangan yang mulia ini.




Disediakan oleh,
Abdur Rahim Abdur Rahman
Pengarah Program
Gaza2Manchester