Tuesday 14 December 2010

Laporan Misi Kasih Palestin South 2010

Southampton, 4/12/2010 - Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan inayah-Nya program Misi Kasih Palestin telah berlangsung dengan jayanya. Program ini merupakan inisiatif Majlis Syura Muslimun kawasan London dan South dengan kerjasama erat Malaysian Student Association (MSA) University of Southampton. MKP South ini juga mendapat sokongan daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Palestine Centre of Excellence (PACE).

Butiran program adalah seperti berikut:

Tarikh : 4 Disember 2010 (Sabtu)
Tempat : Building 46, Room 3001, University of Southampton
Masa : 7.30 hingga 11.00 malam

Majlis dipengerusikan oleh saudara Hafiz, seorang pelajar kejuruteraan di University of Southampton yang dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Syakirin bin Ali Hussin. Beliau memilih untuk membacakan doa rabithah yang mengandungi kata-kata permintaan hamba-hamba-Nya yang memikul tanggungjawab da’wah agar Allah mempertautkan hati-hati mereka di atas jalan da’wah.

Usai pembacaan doa, majlis diteruskan dengan pengenalan MSM oleh pengarah program MKP, saudara Abdullah Shamshir dan juga pengenalan MSA Soton oleh saudara Safwan Azman. Video pengenalan MSM juga telah ditayangkan semasa sesi penerangan ini.

Ceramah pertama disampaikan oleh Tuan Haji Muhammad Tahir bin Ali daripada Palestine Centre of Excellence. Tajuk ceramah beliau adalah Palestin; perspektif syariah dan sivil. Ceramah beliau selama 90 minit menerangkan secara panjang lebar tentang kepentingan bumi As-syams (Palestin dan sekitarnya), kemuliaan masjid al-aqsa kepada umat islam dan dunia dan juga kemuliaan dan kehormatan pejuang-pejuang Jihad yang mahu membebaskan palestin.

Bahagian kedua ceramah beliau meneroka secara lebih mendalam punca konflik ini terjadi, pengaruh zionisme dan lobinya, isu fatah dan hamas, serta bagaimana israil telah banyak melanggar pelbagai resolusi dan perjanjian damai yang telah dimerterai oleh kedua-dua pihak. Bahagian ketiga ceramah beliau pula adalah berkenaan masa depan Islam dan Palestin menurut qur’an dan sunnah yang sememangnya sangat membangkitkan semangat para hadirin. Ceramah beliau diakhiri dengan video tentang tokoh-tokoh Hamas yang telah terkorban demi membebaskan Al-aqsa bertajuk Nam Fi Salam (Rest in peace).

Sejurus tamat ceramah pertama, hadirin dan hadirat dijamu dengan sandwich tuna dan air mineral bagi mengalas perut untuk ceramah seterusnya. Ceramah kedua dari Saudara Abdul Rahman Mohmad, pengarah misi kemanusian MSM ke Beirut di Lubnan. Beliau berkongi pengalam beliau melawat kem-kem pelarian rakyat palestin di Lubnan. Slide-slide yang beliau tayangkan mengandungi banyak sekali gambar-gambar yang sukar didapati melainkan kita pergi sendiri melihat keadaan mereka. Beliau menceritakan pengalaman di Lubnan, di kem pelarian terutama kem shabra shatila dan pengalaman berada di sempadan Lubnan dan Negara haram Israel. Beliau juga menerangkan bahawa tahun lepas MSM telah menyampaikan sejumlah GBP 16,000 untuk membantu projek-projek pembangunan oleh Al-zaytouna centre di kem-kem pelarian pelarian di bawah sponsorship mereka. Ahli MSM yang pergi ke sana juga telah melalui kursus segera selama 2 hari di Al zaytouna centre.

Sesi seterusnya adalah sesi mengutip derma. Sesi ini telah dikendalikan oleh Saudara Syed Roslan Syed Omar, wakil MSM London. Beliau mengingatkan para hadirin tentang balasan orang yang menginfakkan harta di jalan Allah seperti yang disebutkan dalam surah al-baqarah ayat ke 261. Beliau juga telah melahirkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap penderitaan rakyat palestin dan telah meminta hadirin hadirat menyumpang semampu mungkin. Alhamdulillah, jumlah kutipan pada malam itu sahaja berjumlah lebih daripada GBP 1100.

Majlis disudahi dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah-penceramah dan pengedaran leaflet dan phamplet yang didapati dari Palestine Solidarity campaign dan Friends of Aqsa. Para peserta juga mendapat makan malam dan majlis tamat lebih kurang pukul 11.00 malam. Para peserta lelaki seterusnya bergerak menuju ke musolla universiti untuk bermalam dan berqiyamullail.

Pihak penganjur ingin mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, dan yang menyumbang untuk program yang telah dijalankan. Hanya Allah yang mampu membalas.

Disediakan oleh,

Abdullah Shamshir Abd Mokti
Pengarah (Mas’ul) Misi Kasih Palestin South
Majlis Syura Muslimin
London dan South