Tuesday 4 May 2010

Pelancaran MKP Ireland

DUBLIN, 8 April 2010 - 

Satu program ceramah Palestin telah diadakan di Trinity College Dublin (TCD). Program tersebut diadakan bersempena pelancaran Misi Kasih Palestin (MKP) di Ireland yang dianjurkan oleh Majlis Syura Muslimun (MSM). Program ini dihadiri oleh pelajar Malaysia seramai 150 orang. Misi Kasih Palestin dicetuskan oleh MSM untuk menjadi salah satu platform untuk para pelajar muslim khususnya dapat bersama-sama untuk memperjuangkan isu Palestin di UK dan Ireland. Sasaran penjanaan dana sebanyak £10,000 menjadi salah satu usaha yang ingin dicapai oleh MKP untuk menyalurkan bantuan terus kepada rakyat Palestin.

Program bermula dengan tayangan video ringkas tetapi berjaya menyentuh perasaan hadirin yang hadir. Beberapa orang mengalirkan air mata melihat penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin terutamanya di semenanjung Gaza. Semoga tayangan video tersebut dapat membangkitkan semangat peserta yang hadir untuk lebih bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan isu Palestin.

Ceramah yang berlangsung bertajuk “Palestin: Antara Semalam dan Hari Ini” telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Jailani. Penyampaian berkisar tentang sejarah Palestin yang sangat unik. Sejarah yang dihiasi dengan kisah-kisah perjuangan yang tidak pernah padam sehingga sekarang. Hubungan antara Palestin dan umat Islam juga banyak diterapkan oleh penceramah.

Sejarah moden Palestin juga disentuh secara ringkas dimana lebih tertumpu kepada permasalahan yang diwujudkan oleh entiti Zionis. Penindasan, tipu helah, dan rancangan jahat rejim Zionis dibentangkan kepada peserta yang hadir bagi mewujudkan kesedaran dan juga sebagai langkah untuk memastikan peserta arif dan sedar akan ancaman dan kejahatan yang dilakukan oleh mereka.

Program tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab. Namun tidak semua soalan dapat dijawab oleh Ustaz Ahmad Jailani kerana kesuntukan masa. Peserta banyak mengajukan supaya waktu program dilewatkan untuk memberi ruang kepada ustaz bercerita lebih tentang isu Palestin. Ini menunjukkan satu tanda yang sangat baik, kerana tanpa semangat yang berkobar-kobar sukar untuk seseorang itu bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan isu Palestin.

Alhamdulillah, program berjaya ditamatkan pada pukul 10 malam. Kutipan derma padaakhir program mencecah 400 euro. Di harapkan MKP dapat dijalankan dengan lebih cemerlang pada masa hadapan. InsyaAllah, mudah-mudahan MKP menjadi salah satu usaha yang berjaya dan berterusan dalam memperjuangkan isu Palestin di UK dan Ireland.

AHMAD AFIQ RHAZIF
Wakil PACEMalaysia di Ireland

mkpeire2010_4
mkpeire2010_2
mkpeire2010_1