Monday, 13 December 2010

Laporan Misi Kasih Palestin North 2010

Scotland, 5/12/2010 - Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan inayah-Nya program Misi Kasih Palestin telah berlangsung dengan jayanya. Program ini merupakan inisiatif Majlis Syura Muslimun kawasan North East and Scotland dengan kerjasama erat Muslim Association of Britain (MAB) Scotland. MKP North ini juga mendapat sokongan daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Palestine Centre of Excellence (PACE).

Menyahut seruan keimanan dan kewajipan dalam memberi kesedaran berkenaan Palestin kepada masyarakat, MSM North menyedari kepentingan mengelolakan program ini walaupun dengan kekuarangan tenaga yang ada. Malah Imam Al-Banna sendiri menganggap permasalahan Palestin seperti berikut:

“Kecintaan kepada Palestin telah menempati di dalam jiwa kita secara ruhi dan kudus mengatasi kecintaan tanahair sendiri. Allah telah menganugerahkan kita kemuliaan Baitul Maqdis yang penuh berkah kerana keberkatan para nabi dan siddiqin dan tempat kelahiran Nabi Isa AS. Semua itu mampu menghidupkan jiwa dan membangkitkan ruh.”
Menurut Imam As-Syahid isu Palestin adalah isu yang berada pada kedudukan pertama yang merupakan isu dan permasalahan terbesar bagi Islam dan para penganutnya, sebagaimana As-Syahid berkata:

“Palestin adalah jantung tanah air kita, denyut nadi negeri kita, dan pati dari modal kita, pangkal perpaduan dan kesatuan kita, dan atasnya pula tergantung kemuliaan Islam atau kehinaannya”.

Butiran program adalah seperti berikut:

Tarikh : 5 Disember 2010 (Ahad)
Tempat : Strathclyde University Muslim Society Mosque.
Masa : 1.30pm- 4.30pm
Majlis dipengerusikan oleh saudara Eddy Shah, pelajar perubatan di University of St Andrews. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Eddy Shah sendiri.

Usai pembacaan doa, majlis diteruskan dengan pengenalan MSM Scotland oleh saudara Syed Roslan Syed Omar, mewakili Pengarah Program dan juga Timbalan Presiden MSM North. Video pengenalan MSM juga dipaparkan ketika itu. Program dilanjutkan dengan penerangan ringkas berkenaan dengan Muslim Association of Britain oleh Syeikh Abdul Basit selaku President MAB di Scotland.

Ceramah pertama disampaikan oleh Syeikh Abdul Basit, Pengarah rombongan ‘ Miles of Smile’. Ini merupakan rombongan kedua beliau ke Gaza dalam usaha memberikan bantuan perubatan kepada warga Palestin di sana. Beliau menerangkan kepentingan dan keperluan umat Islam untuk mengetahui isu Palestin dan juga bagaimana menghulurkan bantuan kepada mereka selain dari kewangan. Ceramah selama 40 minit itu diselit dengan pelbagai pengalaman yang amat menarik sewaktu beliau di Gaza. Ceramah ini membuka mata para hadirin untuk bukan sekadar mendengar sebuah cerita konvoi, namun merasai dengan penuh keimanan, peri pentingnya untuk prihatin terhadap isu Palestin.

Ceramah kedua disusuli oleh Syeikh Abdel Naser Adam, merupakan timbalan pengarah rombongan Miles of Smile. Pembentangan selama sejam oleh beliau banyak memaparkan gambar-gambar yang diambil sewaktu rombongan mereka di Gaza. Antara pengalaman menarik mereka adalah mereka berpeluang untuk bertemu dan berimamkan Solat Jumaat dengan presiden Hamas sendiri iaitu Muhamad Ismail Haniyeh. Beliau juga memaparkan gambar-gambar penjara yang wujud di sempadan Gaza serta sumbangan-sumbangan yang disampaikan kepada penduduk Gaza termasuk 2 ambulans yang dipenuhi alatan medical.

Sesi seterusnya adalah sesi mengutip derma melalui edaran tabung. Ramai audiens memberikan respon yang positif terhadap program Palestin yang pertama kali diadakan di Glasgow itu.

Majlis disudahi solat Maghrib dan sedikit jamuan minum petang yang disediakan oleh MSM.

Pihak penganjur ingin mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, dan yang menyumbang untuk program yang telah dijalankan. Hanya Allah yang mampu membalas.

Disediakan oleh,
Dr Nur Aisyah Zainordin
Pengarah Misi Kasih Palestin North
Majlis Syura Muslimin
North East and Scotland